Wednesday, June 30, 2010

Asal Usul Nama Terengganu

Setakat ini terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan nama negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan " Terangnya ganu ", " Taring anu ", dan " Terangan nu ". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu ( Kelantan dan Pahang ) dan juga dari penduduk Terengganu sendiri. " Terangnya ganu " ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelajar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi di langit. Mereka pun menyatakan " Terang sungguh ganu di sini ". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya ".

Sementara itu " Taring anu " dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar ( 1839 – 1876 ). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang telah datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu berjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan – "Taring anu " kerana ia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, di antara mereka di dalam rombongan ini dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu ". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di " Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.

Terdapat dua kisah asal nama Terengganu yang melibatkan penduduk tempatan. pertamanya kisah " Taring anu " yang berlaku di tempat lain ( bukan di hulu ). Kisah ini menyatakan yang " Taring anu " berasal daripada sebatang taring sebesar gading gajah dijumpai di sebuah pulau ( kini dikenali sebagai Pulau Duyung ) berhampiran Kuala Sungai. Ketua pulau tersebut menyembahkan kepada raja " taring anu tuanku ". Dengan itu kuala sungai itu disebut sebagai Kuala Sungai Taring anu. Kemudiannya Kuala Sungai Terengganu.

Sebuah kitab lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Kuala Sungai Terengan ini adalah pertemuan Sungai Kerbat dan Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulangalik menggunakan kedua-dua sungai ini. Oleh itu jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan samada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana? Mereka akan menjawab sama ada ke " Terangan ni " atau " Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu.

Kedudukan Geografi Dan Penduduk

Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan ; manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang.

Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1.295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ).

Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu ;
Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut Dan Setiu.

Daerah dalam Negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu Dan Besut. Kemudiannya pada 1 januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan ketujuh di negeri Terengganu.

Tiap-tiap daerah ini di tadbirkan oleh Pegawai Daerah.

Keluasan daerah tersebut :
Kuala Terengganu,60,654.3 hektar
Kemaman, 253,559.9 hektar
Dungun, 273,503.1 hektar
Marang, 66,654.3 hektar
Hulu Terengganu, 387,462.6 hektar
Setiu, 130,436.3 dan
Besut, 123,367.8 hektar.
Penduduk Terengganu bertambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1912 penduduk Terengganu berjumlah 153,765 orang. Pada tahun 1951 seramai 236,300 orang. Seterusnya meningkat lagi pada tahun 1959 ke angka 278,147 orang dan tahun 1960 seramai 306,942. Pada tahun 1963 berjumlah 339.816 orang dan pada tahun 1970 berjumlah 405,751 orang. Jumlah seterusnya meningkat pada tahun 1990 ke angka 756,300 orang. Kini (1998 ) penduduk Terengganu kira-kira 1 juta orang. Daripada jumlah ini 90 peratus adalah orang Melayu dan bakinya terdiri daripada orang Cina dan India.

Ibu negeri Terengganu ialah Kuala Terengganu. Kegiatan utama ekonomi ialah perikanan. Hasil petrolium menguatkan lagi ekonomi negeri.